~ ahli ~

Sunday, April 29, 2012

Filem Islami Di Malaysia : Realiti Atau Fantasi | iluvislam.com discover the beauty of islam

Dalam satu program BICARA di tv al Hijrah di mana saya menjadi salah seorang ahli panel, pengacaranya saudara Amin Idris telah bertanya kepada saya sejauh mana fenomena filem Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih di Indonesia memberi kesan atau impak kepada minat para penerbit filem di Malaysia untuk menerbitkan filem bergenre islami selepas itu. Saya akui begitu berharap selepas fenomena kedua filem tersebut, akan berlaku satu anjakan paradigma pada para penerbit di Malaysia untuk mencuba dan meneroka genre filem islam di Malaysia. Namun ternyata ianya tidak berlaku.

Penerbit kita sejak lebih 10 tahun yang lalu masih terus kemaruk dengan cerita-cerita hantu yang penuh dengan elemen kurafat dan lawak slapstik yang tidak menjadikan khalayak penontonnya lebih cerdik atau berjiwa besar daripada sebelumnya. Kejayaan filem di Malaysia seolah-olah diukur kejayaan dan kemasyurannya hanya pada jumlah kutipan box office yang mereka perolehi. Soal mutu dan kandungan seolah-olah jatuh nombor dua atau tiga.

Kejayaan filem Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih sebenarnya adalah hasil daripada perjuangan para pengkarya genre islami di Indonesia sejak 40 tahun dulu di mana ianya dimulakan dengan penerbitan filem Di Bawah Lindungan Kaabah (1978). Filem arahan Asrul Sani ini adalah adaptasi daripada novel agung Prof Hamka. Banyak filem-filem genre Islami diterbitkan selepas itu dan kebanyakkannya adalah merupakan adaptasi novel. Tema cinta dan perjuangan wali Songo paling banyak diterbitkan. Namun pada tahun hujung 80an industri filem Indonesia mengalami kejatuhan mendadak akibat kemasukan terlalu banyak filem-filem barat dan Hong Kong. Sebagai perbandingan pada 1990 Indonesia menghasilkan 115 jodol filem tapi pada 1993 jumlah itu jatuh kepada hanya 37 judul filem sahaja. Dan jumlah itu terus merosot.

Namun kebangkitan semula filem indonesia berlaku semula apabila terbitnya filem Ada Apa Dengan Cinta (2002) yang meletup dipasaran. Kejayaan filem ini mendapat box office memberi semangat baru pada industri filem di Indonesia untuk menghasilkan filem bertemakan cinta remaja. Usaha mereka ini berjaya apabila filem-filem bertemakan cinta remaja dengan bersandarkan artis popular saperti Dian Sastrowidoyo, Archa Septriasa, Nicholas Sasputra dan lain-lain meletup di pasaran.

Para penerbit genre islami Indonesia juga tidak ketinggalan untuk mengambil kesempatan pada kebangkitan semula itu. Filem Ayat-Ayat Cinta (2008) yang diadaptasi daripada novel popular Ustaz Habiburrahman berjaya menawan hati penonton. Begitu juga dengan filem kedua Ketika Cinta Bertasbih (2009) juga daripada adaptasi novel Habiburahman terus mendapat sambutan box office dan menjadi fenomena di Indonesia. Di celah-celah dua jodol filem islami tersebut, juga ada banyak lagi filem genre islami dan dakwah yang muncul selepas kebangkitan baru yang dimulakan oleh filem Ada Apa Dengan Cinta itu. Antaranya ialah Sang Murabi, Sang Pencerah, Mengaku Rasul, Perempuan Berkalong Sorban, Kiamat Sudah dekat, Laskar Pelangi, Syahadat Cinta, Nenek Mahu Naik Haji, 3 Doa 3 Cinta dan banyak tajuk lagi. Jumlah ini makin meningkat dari tahun ke tahun. Antara yang terbaru ialah re-make Di Bawah Lindungan Kaabah (2011) arahan Hanny R Saputra yang neruoakan antara filem termahal dalam sejarah perfileman Indonesia.

Kebangkitan filem genre islami dan dakwah di Indonesia adalah hasil daripada benih yang mereka tanam dan bajai sejak 40 tahun dahulu. Mereka kini sedang menikmati buah daripada hasilnya. Sepanjang tempoh 40 tahun itu sudah tentu ada jatuh bangun serta jaya dan gagalnya usaha mereka. Tetapi pengkarya genre islami di Indonesia tidak pernah berputus asa untuk mencari formula yang terbaik dalam menghasilkan filem genre Islami yang terbaik.

Mampukah kita hari ini di Malaysia menghasilkan filem genre Islam saperti di Indonesia?

Walaupun mungkin ada yang menyebut filem Melayu Sumpah Semerah Padi (1956) dan Syukur 21 (2000), 7 Petala Cinta (2012) adalah filem genre islam Malaysia namun kita sebenarnya masih ketinggalan jauh di belakang Indonesia.

Menghasilkan sebuah filem Islami juga harus dilihat dari sudut kandungan dan pengisian mesejnya juga. Filem Islami adalah filem yang menjadikan islam itu sebagai teras cerita atau mesejnya bukan ditempel-tempel dalam penceritaannya semata.

Kita memerlukan para pengkarya terutamanya dari kalangan penulis skrip yang mempunyai fikrah Islam untuk menerajui penerokaan dan penerbitan filem genre islami ini saperti mana Indonesia mempunyai penulis skrip berwibawa saperti Habiburrahman.

Kita harus mulakan daripada sekarang supaya hasilnya nanti boleh dinikmati mungkin 30 atau 40 tahun akan datang. Jika kita gagal merangka blue print daripada sekarang maka saya berani menyatakan bahawa penerbitan dan penghasilan filem genre islami di Malaysia buat masa ini masih sebuah fantasi dan jauh dari realiti. Apatah lagi penerbit filem di Malaysia masih menimbang kemungkinan menerbitkan filem genre islam atas pertimbangan komersial dan bukannya sebagai satu tanggungjawab atau usaha dakwah.

Zabidi Mohamad merupakan seorang penulis skrip terkenal di Malaysia. Beliau banyak menghasilkan skrip untuk drama-drama islami tempatan. Layari blog beliau di http://zabidiskrip.blogspot.com


Filem Islami Di Malaysia : Realiti Atau Fantasi | iluvislam.com discover the beauty of islam

Saturday, April 14, 2012

Bencana amaran Allah, pintu taubat masih terbuka

Pada 11 April 2012, Malaysia telah digemparkan dengan fenomena gempa bumi di Acheh. Gegaran hasil daripada gempa bumi itu turut dirasai oleh penduduk-penduduk di Malaysia. Susulan daripada gempa bumi kedua yang mencatat 8.8 skala Ritcher yang dilaporkan berlaku di Acheh itu. Agensi Geofizikal Indonesia mengeluarkan amaran tsunami di mana berlakunya kejadian gempa bumi yang berukuran 8.9 magnitud dicatatkan pada jarak 465 kilometer barat daya Bandar Acheh. Sehubungan itu, beberapa negeri di Malaysia turut merasai impak gegaran daripada fenomena tersebut. Antaranya kawasan Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam, manakala di utara Semenanjung seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Berikut merupakan statistik gempa bumi yang terbesar melanda dunia dari zaman dahulu hingga kini dari The Geological Society of London. Pada 1906, USA (California, San Francisco) mencatat sebanyak 7.8 Skala Ritcher dan melibatkan kematian sebanyak 3,000 orang. Pada 1908, Itali (Messina) mencatat sebanyak 7.5 skala ritcher dan melibatkan kematian sebanyak 25, 926 orang. Pada tahun 1923 pula, Japan (Tokyo-Yokohama) mencatat sebanyak 8.3 skala ritcher dan melibatkan kematian sebanyak 142,800 orang. Manakala pada tahun 1936 pula, di Pakistan (Quetta) mencatat sebanyak 7.5 skala ritcher dengan jumlah kematian sebanyak 35,000 orang. Pada 1939 pula, Chile (Concepcion) mencapai tahap 8.3 skala ritcher dengan jumlah kematian sebanyak 28,000 orang. Pada 1939, Turki (Erzincan) mencatat 8.0 skala ritcher dan jumlah kematian sebanyak 36,740 orang. Tahun 1970, Peru (Chimbote) mencatat tahap 7.7 skala ritcher dengan jumlah kematian sebanyak 67,000 orang. Pada 1976, China (Tangshan) mencatat skala Ritcher mencatat 8.0 manakala kematian sebanyak 290,000. Pada 1976, Guatemala City mencatat 7.5 skala Ritcher manakal kematian berjumlah 22,084 orang. Di mexico, pada tahun 1985 mencatat skala Ritcher 8.1 manakala kematian sebanyak 10,000 orang. Pada tahun 2004 merupakan gempa bumi yang paling dahsyat mencatat 9.2 skala Ritcher dan jumlah kematian sebanyak 230,000 orang di Lautan Hindi gempa bumi dan tsunami. Terakhir pada tahun 2011 berlakunya di Jepun yang mancatat skala Ritcher sebanyak 8.9.

Kita mestilah mengambil iktibar daripada fenomena yang berlaku ini kerana ia merupakan amaran Allah kepada manusia. Allah telah menurunkan bencana ini sejak zaman dahulu lagi. Hal ini juga sebagai peringatan terhadap kemungkaran yang telah dilakukan dan mungkin juga Allah jadikan bala bencana yang diturunkan ini sebagai ujian kepada manusia untuk menguji tahap keimanan hamba-hambaNya. Jelasnya di sini, apabila sesuatu bencana itu diturunkan, Allah tidak memilih sesiapa walaupun ianya berpunca daripada sebelah pihak sahaja. Di dalam surah Al-Anfal ayat 25, Allah berfirman, “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

Sungguh kita mengetahui dalam sekelip mata Allah s.w.t mampu memusnahkan seluruh alam semesta. Dengan kuasaNya, hancurlah segala setiap yang bernyawa dan musnah segala-galanya. Allah berkuasa terhadap ciptaanNya, maka apabila Allah berkehendak dan menetapkan sesuatu, jadilah ia. “Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya : Kun (jadilah) maka jadilah ia.”

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu sahaja, apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan, apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri, apabila suami terlalu mentaati isteri, apabila anak menderhakai ibu bapa, apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri, apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising, apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid, apabila pemimpin sesuatu kaum itu orang dihina oleh kaumnya sendiri, apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya, apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis, apabila ramai lelaki memakai sutera, apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki, apabila wanita bermain alat muzik dan yang terakhir apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu. Maka, pada saat itu, tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin (putting beliung) dan gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman tidak menjadi.”

Justeru, terimalah hakikat bahawa Allah tidak akan menurunkan bala bencana terhadap umatNya seandai umatNya tidak mengingkari apa yang dilarangNya.

Menurut Nur ‘Izzati Idris, Setiausaha Jawatankuasa Peralihan Pelajar 2012 (JPPP) Universiti Sains Islam Malaysia, apabila sesuatu kejadian itu berlaku, manusia mengatakan bahawa ia adalah bencana alam. Tetapi bagi individu yang melihat bencana ini dengan mata hati, mereka akan beranggapan bahawa ini adalah satu amaran dari Allah.

“Saya terfikir keadaan sahabat-sahabat saya yang berada di Indonesia dan Malaysia yang merasai gegaran itu, apabila saya mengetahui tentang berita gegaran tersebut, hati saya menjadi gementar dan takut kerana Allah memberi amaran untuk saya dan umat Islam yang lain.”

Beliau yang juga merupakan bekas Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2011 Universiti Sains Islam Malaysia berkata, “Bumi semakin tua, banyak manusia melakukan kerosakkan, maksiat merata-rata dan sejak akhir-akhir ini kita sering diperdengarkan tentang kes penculikkan, merogol, membunuh dan sebagainya semakin berleluasa. Dan kali ini pula .”

“Kejadian ini membuatkan saya terfikir adakah amalan yang dilakukan sudah mencukupi untuk dijadikan sebagai bekalan menghadap Allah suatu masa nanti, pintu taubat masih terbuka luas kepada kita, dan Allah masih memberi kesempatan kepada kita untuk memohon keampunan di atas setiap dosa yang kita lakukan di atas muka bumi ini,” tambahnya lagi.

Malang sekali peristiwa sebegini jarang manusia dijadikannya sebagai pengajaran. Hanya sekejap sahaja menimbulkan rasa gerun dihati dan apabila masa berlalu, ia dilupakan begitu saja.

Justeru, bukalah minda dan mata hati kita semua dengan segera bertaubat, mentaati dan berserah diri kepada Allah. Marilah kita sama-sama kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan menjadikan bencana ini sebagai panduan hidup serta bersabar menghadapi segala bentuk ujian dari Allah. Bersegeralah kita memohon keampunan dan rahmatNya dan berdoa supaya Allah menjauhi diri kita daripada malapetaka dan perkara-perkara mungkar.