~ ahli ~

Sunday, May 13, 2012

Cabaran dan persediaan mahasiswa bergelar pemimpin Negara

Dalam arus globalisasi ini, Negara amat memerlukan pemimpin yang bukan sahaja memiliki pengetahuan yang tinggi, malah mempunyai keterampilan dan imej yang baik. Pemimpin yang mempunyai keterampilan dan imej yang baik lahir dari masyarakat kebanyakan iaitu dari kalangan sesama kita. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang bijak dan berkebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman yang dilaluinya.

Bagi meralisasikan Malaysia sebagai Negara yang maju menjelang tahun 2020, kepimpinan dikalangan mahasiswa sangatlah penting pada masa kini. Mahasiswa yang idealis, intelektual dan berani berhujah merupakan tunjang kepada pewaris kepimpinan pada masa hadapan yang bertindak secara rasional untuk memimpin Negara ke arah kegemilangan.

Kepimpinan mahasiswa diistilahkan sebagai kepimpinan yang berasaskan oleh rasa tanggungjawab demi menjaga kemaslahatan umum. Ia juga dikatakan sebagai medan latihan kepada mahasiswa sebelum terjun ke medan kepimpinan yang sebenar.

Sedar ataupun tidak, mahasiswa kini merupakan kelompok yang paling besar dalam populasi masyarakat di Malaysia. Ini kerana mahasiswa kini mempunyai banyak tenaga, idea serta penggerak muda yang merupakan generasi pelapis kepimpinan yang agung pada masa akan datang.

Mahasiswa merupakan pemangkin, agen perubahan dan aset penting Negara dalam mengukuhkan kestabilan sistem pengurusan disamping menjana kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat di luar kampus ke arah yang pesat dan maju.

Mahasiswa bukan sahaja menjadi ulat buku di perpustakaan dan bilik-bilik kuliah, malah mereka perlu peka terhadap isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan mereka dan masyarakat luar kampus. Mereka perlu berfikir dan tahu bagaimana cara untuk menyuarakan pandangan mereka secara rasional.

Dalam persediaan mahasiswa untuk bergelar pemimpin Negara, mahasiswa tidak dapat tidak haruslah menghadapi cabaran-cabaran yang tertentu. Hal ini kerana, mahasiswa pada masa kini mudah terdedah dengan kepelbagaian bentuk cabaran yang sukar kita jangkakan serta tidak dapat dielakan.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin, terdapat cabaran terhadap mahasiswa dalam memikul tiga peranan besar di bawah tema “Mahasiswa: Gerak untuk Malaysia”.

Pertama ialah cabaran mahasiswa sebagai penyedar dan penyebar kesedaran Nasional.

Kedua ialah cabaran mahasiswa untuk membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan melalui program dan aktiviti yang menjadi tumpuan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ketiga ialah bagaimana mahasiswa boleh menjadi penyelesai kepada isu dan cabaran semasa dan masa hadapan.

Justeru, mahasiswa haruslah menyahut cabaran-cabaran di atas demi mempertingkatkan jati diri dalam mempertahankan kecemerlangan yang dicapai menerusi kecekapan dan keberkesanan kepimpinan dalam sesebuah organisasi.

Dalam perkembangan dunia teknologi yang serba canggih ini, mahasiswa perlulah membuat persediaan dalam bergelar pemimpin Negara. Persediaan yang dibuat sebagai pemangkin utama sesuatu tindakan.

Pertama, persediaan mahasiswa dalam menjadikan diri sebagai orang yang berilmu. Hal ini kerana ilmu berperanan sebagai pengimbang dalam kehidupan demi melaksanakan arus perubahan dalam menangani perkembangan isu semasa. Ilmu pengetahuan adalah modal utama dalam membentuk kehidupan manusia. Nilai ilmu itu merupakan asas penting dalam mewujudkan suasana kehidupan yang positif dan berdaya saing.

Oleh yang demikian, mahasiswa tidak boleh ketinggalan jauh serta terpengaruh dengan gejala negatif yang boleh menyekat mahasiswa mara ke hadapan bagi meneruskan pencarian ilmu. Ilmu itu perlu dicari dan difahami dengan sebaiknya dan ia tidak bermakna jika tidak disertakan dengan pemahaman yang mendalam mengenainya. Dengan ilmu juga menjadikan diri kita lebih dihormati serta dapat meningkatkan kualiti dalam kehidupan daripada ilmu yang dimanfaatkan.

Kedua, keikhlasan mahasiswa dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Keikhlasan merupakan kayu ukur dalam konteks kepimpinan. Seperti yang kita maklum, tanggungjawab pemimpin dalam menjadi ketua bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya adalah tanggungjawab yang berat perlu dipikul oleh setiap yang bergelar pemimpin.

Secara logik akalnya, tiada sesiapa pun yang sanggup memikul amanah yang sangat berat itu kecuali mereka yang mempunyai keikhlasan yang tulus dalam hati. Hati yang ikhlas tidak akan perasan dengan pujian, dan tidak akan terkesan dengan kejian terhadap tanggungjawab kepimpinan yang diberikan. Hal ini kerana tanggungjawab kepimpinan yang dipikul semestinya dipandang dan diperkatakan orang sama ada ianya datang dari sudut positif ataupun negatif.

Ketiga, mahasiswa haruslah mempunyai jati diri yang kuat. Pemimpin seperti ini mempunyai sifat yang terpuji di sisi agama dan masyarakat atau di kalangan warga organisasinya. Mereka mempunyai wawasan yang teguh dalam jangka masa yang panjang serta berusaha menentukan arah tuju organisasi dan orang bawahanya ke arah kebenaran dan kejayaan. Mereka tidak pernah akan merasa rendah diri apabila berhadapan dengan cabaran-cabaran yang tidak dapat dijangkakan.

Maka, dengan menghayati cabaran dan persediaan mahasiswa bergelar pemimpin Negara, kita dapat melahirkan masyarakat yang akan mengangkat tamadun dan kekuatan berbangsa dan bernegara. Selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, keunikan dan keindahan yang terdapat pada kekuatan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, pegangan agama, kebudayaan dan lain-lain menjadikan Negara kita di antara negara yang paling unik di dunia.

Justeru, mahasiswa hari ini perlu seiring dengan transformasi yang dijalankan oleh pihak kerajaan agar kita mampu menjadi pencetus idea-idea yang intelektual untuk mencorak negara kita ke arah yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Cabaran-cabaran yang datang di luar jangkaan kita bukanlah sebagai batu penghalang untuk kita mara ke hadapan, malah jadikan ia sebagai satu semangat untuk kita terus berusaha dengan lebih gigih membuat yang terbaik terhadap diri serta masyarakat luar.

Kepimpinan mahasiswa dalam memimpin generasi pada masa akan datang merupakan tunggak utama dalam membangunkan Negara. Kita perlu bangkitkan kembali kesedaran di kalangan mahasiswa tentang pentingnya semangat dan idea kepimpinan mereka dengan mengambil kira persediaan-persediaan dalam bergelar pemimpin.

Wednesday, May 2, 2012

Bagai ‘Mulut Ayam’ tiada henti bercakap

Mulut ayam atau dari erti kata lain dalam peribahasa yang berbunyi “mulut bagai ekor ayam dihembus” atau lebih dikenali dalam peribahasa yang lain, “moncong seperti ekor ayam” bermaksud seseorang yang tidak berhenti-henti bercakap dan juga yang tidak tahu erti diam. Individu ini juga mungkin lebih dikenali dalam masyarakat melayu kita sebagai “mulut murai” atau “banyak mulut”.

Biasanya seseorang yang bercakap banyak ini tidak mudah merajuk. Mereka ini tergolong dalam golongan yang berfikiran terbuka. Tetapi, jika banyak bercakap, semakin banyak pula kesalahannnya. Hal ini kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin ramai orang yang akan sakit hati dengan kata-kata kita.

Pesan Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, api nerakalah yang layak untuk dirinya.” (Hadis riwayat Baihaqi). Jika sudah banyak dosa, maka tentulah neraka yang paling layak untuk si mulut murai ini, seperti sabda Rasulullah s.a.w, “Tidaklah dihumban muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelik) lidahnya.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Pepatah Melayu juga ada mengatakan, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Berapa ramai di kalangan kita yang dapat menjaga lidah? Peliharalah lidah kita daripada menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, bercakap kosong, mengumpat keji dan mengadu-domba. Bukanlah kita tidak dibenarkan bercakap, tetapi jika terlalu banyak bercakap, tentulah banyak kesalahan yang terkeluar daripada percakapan kita itu dan natijahnya banyak juga dosa kerana kita telah membuat orang terasa hati dengan kata-kata kita.

Imam Nawawi juga ada berpesan, kita seharusnya menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia, kecuali jika percakapan itu boleh mendatangkan kebaikan. Jika asyik bercakap sedangkan percakapan itu tidak memberi faedah apa-apa, tiada guna juga. Sebaliknya, gunakanlah bicara kita dengan mengeluarkan kata-kata yang berhikmah.

Perlukah kita bercakap banyak atau lebih baik berdiam diri? Pada pandangan saya, lebih baik kita berdiam diri sahaja. Hal ini kerana bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik kita berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin menjerumus kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku, tetapi jarang kita dapati kebaikan daripadanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika tiada apa yang hendak diperkatakan, lebih baik kita ambil inisiatif dengan berdiam diri sahaja. Daripada hadis di atas, dapatlah kita memahami bahawa seseorang yang beriman itu sentiasa mengawasi lidahnya dalam berkata-kata dan apabila berkata hanya kepada perkara yang memberi manfaat kepada dirinya dan juga orang lain.

Bercakap banyak juga boleh mendatangkan banyak kelemahan. Sebagai insan biasa pastinya kita tidak dapat lari daripada kekangan melakukan kesalahan, kerana manusia bukanlah malaikat yang Allah jadikan cukup sempurna. Namun begitu Rasulullah s.a.w. telah mewasiatkan kepada kita Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan di dalam kehidupan seharian kita, maka jika kita tersesat, terlupa, tersilap dan sebagainya maka kembalilah kita kepada Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Islam amat menuntut umatnya supaya berhati-hati ketika berkata-kata dan ingatlah tentang 5 perkara yang perlu disebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini. Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk, perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia, perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan, jangan menyebut-nyebut kebaikkan diri dan keluarga, dan yang terakhir jangan menyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Banyak bercakap juga menjadikan hati kita mati. Thabit bin Qurrah berkata, “Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan.”

Hati adalah tempat untuk kita rasa berkasih sayang, rasa pemurah, rasa bertuhan, rasa cemas, takut dan beribuan lagi rasa. Hati juga sangat sensitif serta mencorakkan akhlak, peribadi dan kehidupan manusia.

Rasulullah s.a.w ada menyebut, “Dalam diri manusia ada seketul daging, kalau baik daging itu baiklah seluruh kehidupan manusia, kalau jahat maka jahatlah kehidupan manusia itu, ketahuilah kamu itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hati yang bersih adalah cerminan dari bersihnya jasad. Walau bagaimana pun, setiap tubuh badan manusia mempunyai segumpal daging yang bernama hati. Hati yang menentukan sifat seseorang itu. Banyak berkata-kata yang sia-sia itu mematikan hati kita kerana kita mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati orang lain, bergelak ketawa yang berlebihan serta bicara kata-kata yang sia-sia tanpa arah tujuan.

Bercakap banyak juga petanda akhlak buruk. Jika percakapan yang keluar daripada seseorang itu perbuatan elok dan terpuji, maka orang tersebut baik budi pekertinya. Sebaliknya, jika percakapan yang keluar adalah perbuatan jahat, maka jahatlah budi pekertinya.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara sekalian kamu dan paling dekat kedudukannya kepadaku di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya. Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku dan terjauh dariku di akhirat iaitu mereka yang terburuk akhlaknya. Mereka itulah ‘Tsarsarun’, ‘Mutafaihiqun’ dan ‘Mutasyaddiqun’.”

Maksud tsarsarun ialah orang yang banyak bercakap, mutafaihiqun pula ialah orang yang sombong manakala mutasyaddiqun ialah mereka yang bercakap tanpa berhati-hati. Bercakap banyak itu adalah tergolong dalam akhlak yang buruk. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah s.a.w dan ingin dekat dengannya di akhirat, maka hendaklah ia memperbaiki akhlak dan peribadinya.

Kesimpulannya, keselamatan seseorang itu terletak pada penjagaan lisannya. Jika baik tutur bicaranya, maka baiklah akhlaknya dan jika buruk budi bicaranya maka buruklah perangainya. Oleh itu, berhati-hatilah ketika berbicara, dan jagalah tutur percakapan kita serta kurangkanlah berkata-kata kerana ianya akan mengurangi kesalahan dalam pertuturan kita. Jagalah lidah kita sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah s.w.t.